Emma, Zizan Jawab Isu Bersekedudukan

SELEPAS reda dengan gosip bercium dalam kapal terbang sekitar bulan Januari lalu, terkini timbul pula gosip yang mendakwa Zizan Razak dan Emma Maembong bersekedudukan.

Gosip berkenaan mula tersebar selepas sebuah portal hiburan yang mendakwa menerima sepucuk surat daripada jiran Zizan yang mendedahkan pengacara popular itu tinggal serumah dengan pelakon jelita tersebut.

Walaupun si pengirim surat itu tidak menyatakan nama kedua-duanya, namun ramai yang meneka mereka ialah Zizan dan Emma.


Kosmo! yang menemui Zizan dan Emma di sebuah majlis anugerah baru-baru ini, bertanya lebih lanjut mengenai gosip berkenaan.

Selain gosip mengenai bersekedudukan itu, Zizan dan Emma turut ditanya mengenai gosip yang mengatakan Emma bakal meninggalkan syarikat milik Zizan iaitu Wire Fame Sdn. Bhd. (Wire Fame).

Kosmo!: Boleh ulas mengenai gosip dalam sebuah portal hiburan yang mendakwa Zizan dan Emma bersekedudukan?

ZIZAN: Saya terkejut kenapa jiran saya buat macam itu. Kenapa beritahu kepada portal. Kenapa tidak tegur saya sendiri. Baru habis kes bercumbu, kini timbul pula gosip bersekedudukan pula. Tidak habis-habis!

Adakah benar seperti apa yang didakwa jiran Zizan itu?

Saya kenal jiran saya. Jiran mesra dengan saya. Saya juga tidak rasa jiran saya buat macam itu. Saya mengakui Emma pernah datang rumah tetapi ketika ibu dan abang saya ada. Mana mungkin (Emma datang) ketika orang lain tidak ada di rumah saya. Kami tidak akan buat seperti itu (bersekedudukan), sebab saya dan dia dikenali umum.

Apakah perasaan Zizan apabila satu persatu cerita tidak baik mengenai kalian timbul?

Saya sudah tidak tahu hendak cakap apa. Kalau betul hendak tegur kenapa tulis macam itu. Kenapa hendak hantar kepada portal? Pada saya, kalau niat macam itu memang hendak jatuhkan saya.

Cara dia tulis macam islamik tetapi kalau dia betul-betul islamik, jika mahu tegur (tentang sesuatu), lebih baik secara berbisik berbanding didedahkan kepada orang lain. Sebaliknya, dia menyebarkannya pula. Datanglah tegur saya secara profesional.

Saya tidak tipu bahawa memang Emma ada datang (ke rumah). Saya juga ada datang ke rumah Emma tetapi keluarga masing-masing ada ketika itu.

Jangan buat macam ini. Kalau betul kami buat begitu, pasti kami akan coverline (berselindung). Ini pada siang hari pula. Tak logik saya buat macam itu.

Bagi Zizan, adakah orang ini menyimpan sebarang dendam dengan anda?

Kita (sebagai selebriti) ada golongan pemuja (lovers) dan golongan pembenci (haters). Saya bukan lelaki kacak. Saya bergerak dengan kekuatan bakat dan penyokong. Saya tidak percaya dengan kontroversi.

Kalau boleh, saya mahu orang kenal Zizan kerana lakonan dan jenaka saya. Kalau kita buat baik sekalipun orang menyampah juga. Ia bergantung kepada sama ada saya melenting dan pandai bawa diri atau tidak.

Apakah reaksi ibu Zizan mengenai berita ini?

Reaksi ibu saya rileks sahaja. Janji ibu saya tahu saya ada di rumah bersamanya. Saya mahu beri kebahagiaan kepada ibu bapa saya dan abang saya. Itu yang selalu saya doa.

Walaupun tidak mewah, malah kami pernah naik motosikal berempat tetapi saya juga tidak susah. Jadi, hari ini saya berusaha untuk membuatkan hidup keluarga saya senang.



Mungkin penyebar gosip itu ingin lihat kalian berkahwin?

Kalau mahu ke arah lebih baik sekalipun jangan push (paksa) kami macam ini dengan keluarkan gosip yang bukan-bukan tentang saya dan Emma. Saya percaya melalui perkahwinan, Allah sudah janjikan rezeki. Kahwin suatu rezeki dan anak juga rezeki.

Sebelum ini ada gosip yang mengatakan Emma bakal meninggalkan syarikat Wire Fame Sdn. Bhd. Komen Zizan?

Itu kena tanya Emma sendiri. Kalau ikut kontrak dia ada enam bulan lagi. Dia sekarang tengah berfikir. Dia pernah beritahu saya, ingin menguruskan dirinya sendiri.

Bagaimanakah kalau Emma benar-benar buat keputusan keluar daripada syarikat anda?

Saya tak kisah kalau itu perkara yang patut untuk diri dia. – FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Blogger news